Tuesday, May 2, 2017

Bride Of The Alpha {7}

Posted by Snow_Queen at 8:30 PM
Chanyeol mengurut pelipis dan sesekali terlepas keluhan kecil menandakan dia penat. Entah apa yang terjadi tadi kerana sedar-sedar sahaja, Jongin dan Ri In sudah berdiri dihadapannya. Terdapat kecederaan kecil pada keduanya namun ianya tidak akan mengambil masa yang lama untuk mereka berdua sembuh.

Kedua belah matanya dipejam rapat, membiarkan angin malam menyapa tubuh. Minda cuba mencungkil kembali apa yang terjadi selepas dia mencekak kolar baju Jimin namun hampa kerana apa yang muncul hanyalah bayangan kosong. Mengapa dia tak boleh ingat apa-apa pun?
Melihat raut wajah Jimin yang bersahaja, dia membuat kesimpulan bahawa tiada apa yang terjadi antara mereka berdua dan yang menjadi tanda tanya mengapa Jimin tidak mengungkit hal antara mereka selepas itu? Adakah dia hanya bermimpi?

“Dah tidur?”

Chanyeol tersenyum nipis apabila suara lembut menyapa halwa telinga. Tanpa membuka mata pun dia sudah dapat mengagak siapa yang baring di sebelah.

“Kepala kau masih sakit lagi?”

Chanyeol ketawa kecil sebelum dia mengalih kedudukan badan menghadap Ri In. Kelopak mata dibuka dan raut wajah Ri In yang kepenatan ditenung lama. “Tidur la mak cik. Kau pun mesti penat.”

Ri In ketawa kecil. Ketawa yang setakat bergema di halkum. Mereka berempat sudah memutuskan untuk mengundi siapa yang akan berjaga dan siapa yang akan berehat dahulu sebelum bergerak ke destinasi seterusnya. Dan dia beserta Chanyeol terpilih untuk berehat dahulu.

“Ada apa-apa yang terjadi antara kau dan Jimin ke?” Sengaja Ri In mengalih topik. Cuba untuk tidak memikirkan apa yang sedang Jongin dan Jimin buat di luar sana. Entahkan dia dapat tidur atau tidak malam ini.

Meskipun Jimin bukan pesaingnya entah mengapa kehadiran Jimin di sisi Jongin merupakan satu ancaman buatnya. Dan yang membuatkan dia tak bertambah selesa ialah apabila Jongin kelihatan selesa dengan kehadiran Jimin di antara mereka sedangkan Jongin selalunya susah untuk menerima kehadiran orang luar dalam hidupnya. Mungkinkah kerana Jimin merupakan kakaknya?

“Tak ada. Kenapa kau tanya?” Chanyeol memejam kembali kelopak mata. Enggan membiarkan Ri In melihat penipuan yang baru sahaja dia ucapkan.

Ri In menggeleng perlahan. “Tak ada apa. Saja tanya.” Dia akhirnya memutuskan untuk berhenti menyoal meskipun keadaan Chanyeol kelihatan pelik sebaik sahaja dia dan Jongin mendapatkan Jimin dan Chanyeol yang menanti mereka di bawah pohon oak, tempat persembunyian keduanya.
Chanyeol kelihatan terpinga-pinga memandang ke arahnya dan Jongin. Seolah-olah jejaka itu baru sahaja terjaga daripada lena yang panjang dan wajah Jimin kelihatan sedikit pucat. Dia pasti ada sesuatu yang terjadi antara keduanya. 

Namun memandangkan terdapat tanda kehadiran penjaga temple yang lain, segera mereka berempat beredar dari kawacan temple berkenaan.

Melihatkan Chanyeol yang seolah sudah masuk ke alam mimpi, Ri In memutuskan untuk mengikut jejak langkah sahabatnya itu. Lagi pula dia tak mahu menjadi beban kepada ahli kumpulannya yang lain apabila dia kurang rehat.
-
Jimin menghampiri Jongin yang duduk menghadap sungai sebelum dia melabuhkan punggung di sebelah jejaka berkenaan. Cardigan berwarna kelabu ditarik rapat ke tubuh badan apabila angin malam menyapa.

“Kau okay?” Satu soalan yang dia rasakan agak janggal untuk ditanya. Sungguh pecah rekod bagi dia untuk bertanyakan soalan itu pada Jongin. Kedua belah kakinya dilunjur lurus untuk merenggangkan sendi dan urat. Sehari suntuk berjalan dan menggunakan tenaganya menyebabkan dia berasa letih.

Bibir Jongin tersungging ke atas. Air berkocak apabila dia dengan sengaja melontarkan beberapa ketul batu kecil. Cukup cahaya bulan menerangi kawasan mereka berdua tatkala ini.

“Kelakar kan? Selama ni apa yang selalu keluar dari mulut kau untuk aku hanyalah sindiran. Ni kes nak bodek aku ke apa?” Jongin mengalihkan pandangan kepada wajah Jimin yang tak beriak memandang sungai kecil di hadapan mereka.

Jimin julingkan mata ke atas tanda meluat. Menyesal nak buat baik dengan jejaka di sebelahnya. “Mungkin. Nah.” Jimin menarik keluar kain yang sudah dibalut dengan beberapa herba yang dicari di sekeliling tempat mereka berteduh tadi daripada poket cardiganya sebelum dia hulur ke arah Jongin.

“Apa ni?” Kening sebelah kanan terjongket ke atas. Dalam hati terdetik juga rasa ragu untuk menerima kain yang dihulur Jimin.

“Untuk tangan kau. Aku perasan yang kau asyik sorok telapak tangan kiri kau semenjak kau keluar dari Livid Temple tadi. Kau pegang silver goblet tu dengan tangan kau tanpa apa-apa alas kan?”

Jongin tayang sengih kecil. Sedikit kagum dengan Jimin yang sempat menjaga hal tepi kain orang lain dalam waktu genting tadi. “Tak ada apalah. Sikit je ni.”

Jimin julingkan mata sebelum dia dengan selamba mengubah tempat duduk daripada belah kanan Jongin ke sebelah kiri lelaki itu. Lengan Jongin direntap sedikit kasar sebelum dia balut telapak tangan jejaka berkenaan dengan kain dalam pegangannya.

“Sikit tak sikit, bisa benda alah tu boleh tahan juga. Kalau kau biarkan, ia akan makan daging kau sehingga ke tulang. Balik nanti kau kena dapatkan rawatan yang sepatutnya. Aku cuma boleh hentikan bisa tu buat sementara waktu sahaja.”

Jongin menelan liur. Membiarkan sahaja Jimin membebel sambil merawat tangannya. Segera dia menarik kembali tangannya sebaik sahaja Jimin selesai mengikat kain berkenaan. Ucapan terima kasih disebut perlahan sebelum dia berdehem kecil.

“Apa riddle kedua yang diberi?” Jimin menyoal selepas beberapa ketika mereka berdua menyepi. Masih ada dua jam sebelum mereka berdua bertukar tempat dengan Chanyeol dan Ri In.

“You saw me where I never was and where I could not be. And yet within that very place, my face you often see. What am I?” Jongin mengulang kembali riddle yang dia dengari semasa dia berada di dalam Livid Temple sebaik sahaja dia berjaya mendapatkan silver goblet yang di atasnya terdapat nyalaan api berwarna kuning. Dan Ri In menggunakan kebolehanya untuk membekukan api berkenaan sebelum mereka keluar dari kuil suci itu.

Jimin mengecilkan mata. Memerhatikan refleksi bayangan bulan mengambang yang muncul di atas permukaan air. Cuba untuk mengaitkan setiap riddle yang diberi.

“Ada klu lain?”

“Silver goblet tu ada ukiran perkataan Broah.” Jongin menggumam perlahan kali ini namun matanya masih tak lepas memerhatikan tingkah laku Jimin.

“Broah?” Jimin mengerutkan kening. Tidak pernah pula dia mendengar perkataan tu. Adakah ianya merupakan nama tempat?

“Kita ada masa beberapa jam lagi untuk mencari jawapan. Aku harus pergi sebelum matahari naik.” Jimin bangun dari duduknya dan menepuk belakang seluarnya untuk menghilangkan debu-debu yang mungkin melekat pada pakaiannya.

“Pastikan kau kembali sebelum tengah hari. Aku akan tinggalkan jejak untuk kau.” Jongin seperti biasa memberi syarat pada Jimin meskipun dia berasa berat untuk membiarkan gadis itu seorang diri.


“Aku bukan budak-budak lagi, Jongin.” Jimin berlalu pergi untuk rehat seketika sebelum dia kembali ke Hay border.

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review