Monday, January 2, 2017

Bride Of The Alpha {3}

Posted by Snow_Queen at 9:07 PM
                                   
Matahari muncul di ufuk timur seperti kebiasaan setiap pagi. Jimin menghirup udara pagi dengan tenang sebelum menjamah setiap inci pemandangan di hadapannya. Mulai hari ini secara rasminya dia akan menjadi ahli keluarga Jung pada kaca mata orang ramai. Setiap syarat yang diikat dengan Tuan Jung sudah dimeterai.

Sungguh dia tidak sabar untuk memulakan kehidupan normal seperti remaja yang lain. Namun dalam pada masa yang sama dia tahu dia tidak boleh terleka walaupun sesaat. Tugas yang diberi tetap perlu dilaksanakan.

Dia melangkah masuk ke dalam biliknya kembali sebelum mencapai jaket hitam yang tersadai di hujung katil yang juga merupakan pakaian rasmi Akademi Lucid Fall berserta dengan beg galas miliknya.

Baru sahaja mahu menuruni tangga namun bunyi buku yang terjatuh membuatkan langkahnya terhenti. Jimin melontarkan pandangan ke arah sebelah kanan hanya untuk melihat wajah terkejut Ri In yang kini kaku memandang ke arahnya.

“Tak pernah tengok orang ke?” Sinis dia menuturkan ayat berkenaan sebelum dia melangkah turun menuju ke pintu utama. Lupakan sarapan dan adab untuk menyapa orang tuanya pada waktu pagi. Dia sudah tak sabar untuk melebarkan sayapnya sendiri.

“Tunggu!”

Jimin mengeluh halus sebelum memusingkan tubuhnya menghadap ke arah Ri In. Kening sebelah kanan dijongket tanda tidak senang dengan kehadiran Ri In. Meskipun dia harus menjadi bayang-bayang kembarnya, buat masa sekarang dia mahu menikmati kebebasannya buat beberapa ketika.

“Aku tak bermimpikan? Kau memang wujud kan?” Ri In merenung wajah dingin dihadapannya. Sungguh kini dia tidak tahu mahu membezakan mana realiti dan mana satu mimpi! Atau mungkin dia sekarang terperangkap di dalam mimpinya sendiri?

“Aku tak ada masa nak jawab soalan bodoh kau. Kalau kau nak tahu cerita sebenar dari A hingga Z, apa kata kau tanya Tuan Jung?” Jimin hadiahkan kerlingan tajam pada Ri In sebelum melangkah pergi. Meninggalkan Ri In beserta dua orang lelaki yang kelihatan terpingga-pingga melihat dia dan Ri In bersama. Barangkali mereka juga keliru buat seketika melihatkan dia dan Ri In.
-
“Satu akademi tengah kecoh sekarang. Yang paling kelakar, semua orang ingat kau bad mood harini, mak cik.” Baekhyun mengukir senyum nakal kepada Ri In sebelum menghirup sup panas kegemarannya.

“Khenapa?” Ri In menyoal meskipun mulutnya sendiri penuh dengan makanan. Dia tayang sengih apabila Chanyeol menyiku lengannya tanda menyuruh dia mengunyah makanannya dulu sehingga habis sebelum bercakap.

“Pasal kembar kau la. Muka dia kan beku tanpa perasaan. Bila orang sapa dia, dia hanya bagi jelingan tajam tak pun berlalu pergi tanpa perasaan. Tak semua orang dapat bezakan kau dua orang.” Sehun menyampuk.

Ri In mengerling ke arah Jimin yang duduk berseorangan di hujung café akademi. Kembarnya menikmati makanan tengah hari dengan tenang tanpa menghiraukan bisikan pelajar-pelajar sekelilingnya.

“Jadi ayah kau serahkan dia pada saudara jauh selama ni? Kenapa ayah kau buat macam tu?” Baekhyun kembali menyoal setelah dia habis mengunyah roti dalam mulutnya.

Ri In jongket bahu, “ayah aku cakap sebab Jimin sakit kuat masa dia kecil dulu jadi hanya saudara jauh aku yang seorang tu sahaja dapat mengubati dia. Mereka ambil keputusan untuk hantar dia duduk dengan saudara jauh tu sehingga dia sembuh.” Ri In mengulangi kembali kata-kata Tuan Jung pagi tadi.

“Jadi kauorang akan join tak pertandingan Heux tahun ni? Pendaftaran akan ditutup tak lama lagi.” Chanyeol menyampuk. Sengaja mengubah topik. Entah mengapa dia berasa tak senang setiap kali topik Jimin dibangkitkan.

“Aku dengan Oh Se tak dapat join tahun ni. Kitaorang ada kem penting pada hari pertandingan.” Baekhyun mengeluh kecil. Kecewa kerana tak dapat menyertai pertandingan kegemaranya tahun ini.

“Kau macam mana, Soo?” Chanyeol membuang pandang pada Kyungsoo yang leka membaca sambil mengunyah bun melon kegemarannya.

“Sorry. Tahun ni pun aku tak dapat join. Aku ada ujian penting pada hari pertandingan.” Kyungsoo menjawab tanpa memandang ke arah rakan-rakannya.

Chanyeol memuncungkan bibir. Kalau tak cukup orang itu bermakna dia dan Kai pun tak akan dapat menyertai pertandingan itu pada tahun ini. Sekurang-kurangnya empat orang diperlukan di dalam satu kumpulan untuk menyertai Heux.

“Mhmm..Aku boleh join.” Ri In menyampuk.

Kai ketawa kecil sebelum mengusap kepala Ri In. “Jangan nak berangan, Princess. Tuan Jung akan pancung kepala kitaorang jika kau sertai pertandingan tu.”

“Kalau aku dapat kebenaran ayah aku, kauorang akan benarkan aku sertai pertandingan ni kan?”

Kai mengerling ke arah Chanyeol. Bukan dia tak tahu Ri In sudah lama mahu melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh Akademi. Namun entah mengapa setiap kali anak gadis Tuan Jung itu mahu menyertai mana-mana aktiviti yang melibatkan ketahanan fizikal, setiap kali itu juga akan dibantah mentah-mentah oleh Tuan Jung.

“Okay. Tapi hanya jika Tuan Jung beri kebenaran.” Kai tersenyum nipis untuk memujuk Ri In. Seperti mana tahun-tahun lain, dia yakin permintaan Ri In akan ditolak mentah-mentah juga pada tahun ini.

Lagi pula Heux bukan sebarang pertandingan. Pertandingan ini penuh dengan tipu helah dan memerlukan daya tahan fizikal yang tinggi. Setiap ilmu yang dipelajari di akademi perlu dipraktikkan di dalam pertandingan ini. Tambahan pula, mereka akan berada di dalam hutan tebal yang jarang dijelajahi selama tiga hari tanpa pengawasan sesiapa. Itu tempoh maksima yang diberi untuk menyelesaikan setiap masalah yang diberi untuk memenangi Heux. Apa sahaja boleh terjadi dalam tempoh tiga hari termasuk kematian. Sebab itu untuk menyertai pertandingan ini, para pelajar perlu mendapatkan kebenaran dan tanda tangan penjaga masing-masing.

“Mana kita nak cari lagi seorang kalau Ri In boleh sertai kita?”

Kai tersenyum nipis mendengar soalan Chanyeol. “Aku boleh cari orang untuk cukupkan quota team kita. Jangan risau.”
-
Jimin merenung poster bersaiz besar di hadapannya dengan penuh minat. Pertandingan Heux. Otaknya mula melakar pelbagai pelan untuk menyelesaikan misi yang di beri namun apa yang membuatkan dia hampa ialah apabila dia memerlukan sekurang-kurangnya lagi tiga ahli untuk menyertai pertandingan ini.

“This is suck!” Dia mengomel sendirian kerana tahu dia tak punya sebarang rakan untuk menyertai pertandingan ini. Dia masih baru di sini dan dia juga tak punya niat untuk berkawan dengan sesiapa buat masa ini. Dia lebih selesa bergerak sendirian.

“Nak join kumpulan aku tak?”

Jimin berpaling ke sisi mencari tuan punya suara hanya untuk tergelak dengan nada sinis.
“Aku tak berminat.”

Kai jongket kening mendengarkan jawapan Jimin. Sudah pasti dia tak tersilap pandang riak wajah Jimin yang kecewa. Sudah beberapa minit dia memerhatikan Jimin memandang poster Heux dan dia pasti gadis itu berminat untuk menyertai pertandingan itu.

“Kau takut Tuan Jung tak akan benarkan kau sertai pertandingan ni?” Kai sengaja menembak Jimin dengan soalan berkenaan. Sedangkan Ri In pun Tuan Jung membantah sekeras-kerasnya apabila gadis itu mahu menyertai pertandingan ini, apatah lagi orang tua itu mahu membenarkan Jimin turut menyertai pertandingan ini pada hematnya.

“Oh, please. Orang tua tu tak ada hak untuk tentukan hala tuju hidup aku.” Jimin menjulingkan mata ke atas.

Kai tergelak kecil. “Bagus. Aku akan masukkan nama kau dalam kumpulan aku. Pastikan kau dapat tanda tangan dan surat kebenaran daripada Tuan Jung.”

“Hah?” Jimin memandang Kai dengan pandangan pelik. Namun belum pun dia sempat untuk membantah, Kai terlebih dahulu bergerak pergi meninggalkan dia sendirian di situ. Gila punya lelaki, gumam dia sendirian. Namun dia akui tawaran Kai merupakan satu peluang keemasan padanya. Dia tak perlu bersusah payah mencari jalan untuk menyertai Heux. Lagi pula dia sudah mengenali Kai untuk beberapa tahun meskipun apa yang mereka berdua buat hanyalah bertekak setiap kali bersua muka.

Cuma bezanya kali ini mereka harus berpura-pura tak mengenali antara satu sama lain. Ada rahsia yang harus dijaga rapi di antara mereka. Dan dia perlukan pertandingan ini sebagai tiket untuk mencari sesuatu di kawasan larangan pihak musuh.


2 under spell:

moshiee said...

rahsia apa ni :D
wowww best snow .
keep it up .
fighting ! xoxo

Anonymous said...

Best nak lgi dn lagi

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review