Sunday, December 25, 2016

Bride Of The Alpha {2}

Posted by Snow_Queen at 9:42 PM
                                

Dia berdiri di hadapan cermin besar sebaik sahaja gaun berwarna hitam yang mengikut bentuk badannya dikenakan. Sengaja dia pusing ke kiri dan ke kanan untuk memastikan gaun itu terletak cantik sebelum dia melangkah ke arah meja solek.

Ini adalah malamnya. Malam untuk dia menuntut janji yang dimeterai beberapa belas tahun lalu. Rambut yang panjang mengurai disisir sebelum disanggul rapi. Diikat mati menggunakan cucuk sanggul warisan nenek moyang yang ditinggalkan semasa dia diserah pergi. Tangan seterusnya mencapai lipstick berwarna merah untuk menaikkan seri wajah sebelum subang dikenakan hanya pada telinga sebelah kiri.

“Kau nampak cantik pada malam ni.”

Jimin mengerling pantulan di cermin hanya untuk melihat Dark bersandar pada dinding. Lelaki itu menyeluk saku seluar dan nampak kasual seperti biasa. Sebuah senyum sinis terukir di hujung bibir.

“Aku dah lama tunggu saat ini.”

Dark tergelak kecil. Sengaja mahu memprovok perempuan di hadapannya. “Bagaimana kalau mereka tak boleh terima kau?”

Jimin menjeling ke arah Dark melalui pantulan cermin. Dia tahu Dark mahu menguji tahap kesabarannya. Seperti selalu. Dan selalunya dia tidak akan teragak-agak untuk belasah Dark namun pada malam ini, sedikitpun dia tak terkesan dengan provokasi Dark. Mindanya hanya dipenuhi dengan keterujaan.

“Mereka harus terima aku tidak kira sama ada mereka suka ataupun tidak. Dan kau tahu hal itu lebih daripada aku.”

“Entah. Aku hanya mahu lihat reaksi mereka apabila mereka melihat kau.” Dark jongket bahu tanda tak kisah.

Jimin mendengus geram. Ada sahaja benda yang lelaki ini mahu sakitkan hatinya. Dia bergerak ke arah tingkap dan melontarkan pandangan ke bawah. Sengaja dia memilih bilik yang menghadap pintu masuk hotel supaya senang untuk dia memerhati.Tetamu masih lagi berpusu-pusu datang dan kebanyakkan dari mereka mungkin adalah tetamu yang datang mahu meraikan hari jadi anak salah seorang pengasas Bandar Roselle, Jung Ri In.

Sepasang stiletto merah dikenakan dan dia pusing menghadap Dark. “Aku dah bersedia. Mari kita pergi.”
-
Tipulah jika dia tak berdebar dan cemas. Setelah berbelas tahun dan hari ini adalah kali pertama dia akan bersua muka dengan ahli keluarganya sendiri namun dia tahu dia tak boleh tunjukkan kelemahan dirinya di hadapan Dark atau jejaka akan mengejek dia selagi dia hidup.

Mereka berdua kini berdiri di hadapan pintu banquet hall di mana majlis hari jadi yang ke sembilan belas Jung Ri In diadakan. Dark melepaskan pegangan Jimin pada lengannya sebelum jejak itu berundur beberapa tapak ke belakang.

“Ingat. Mulai saat ini kau akan melangkah bersendirian. Mulai hari ini, aku tidak akan berada di sisi kau lagi, Jimin. Tapi kau boleh cari aku jika kau perlukan aku tapi ada harga yang perlu kau bayar.”

Jimin tergelak nipis. Entah sengaja Dark mahu mengenakan dia atau apa. Tanpa memberi reaksi pada kata-kata Dark, Jimin menolak pintu kayu di hadapannya dan melangkah masuk hanya untuk mendengar bunyi kaca berderai beberapa saat kemudian.

Matanya terpaku melihat sepasang mata yang merenung padanya sebelum tubuh itu melayang hampir menyembah bumi sebelum ada sepasang tangan menyambut tubuh itu.

Dia mengalihkan pandangan matanya pada sepasang lelaki dan perempuan yang berdiri di hadapan tangga utama banquet hall yang turut membuang pandang ke arahnya. Reaksi terkejut jelas tertera di wajah keduanya.

Perlahan-lahan dia mengorak langkah ke arah pasangan suami isteri itu hanya untuk berhenti beberapa langkah di hadapan keduanya.

Si isteri mengenggam erat lengan si suami dan para tetamu mulai berbisik antara sesama sendiri. Dia melemparkan senyuman yang lebih kepada mengejek kepada keduanya.

“Saya dah pulang.”
-
Tuan Jung berdehem perlahan. Dia masih diam tak berkutik daripada tempatnya berdiri. Pandangan dilemparkan ke luar dan dapat dia lihat isterinya duduk diam tak berkutik di atas sofa melalui pantulan kaca sliding door bilik bacaan peribadinya.

Sudah hampir satu jam mereka bertiga duduk di dalam bilik ini dan setiap saat yang berlalu bagaikan menjerut lehernya sendiri. Dadanya terasa sempit.

Siapa sangka rahsia yang ditutup rapi berbelas tahun kini muncul di hadapan mereka. Meskipun Jimin adalah darah dagingnya juga, entah mengapa dia merasakan anak gadis itu lebih kepada ancaman kepada keluarganya.

Yang paling dia kesal, hari jadi Ri In yang sepatutnya menjadi memori gembira bertukar menjadi mimpi ngeri. Setakat yang dia tahu, Ri In masih lagi tidak sedarkan diri.

“Adakah kepulangan saya tak di alu-alukan?” Jimin mengambil keputusan untuk memecahkan keheningan di dalam bilik bacaan milik ayahnya terlebih dahulu. Matanya ditala pada Tuan Jung sebelum beralih pada Puan Jung.

“B-bukan macam tu. Kami hanya terkejut dengan kemunculan kamu.” Puan Jung pantas menafikan kenyataan yang keluar dari mulut Jimin. Macam mana pun, Jimin adalah anak gadisnya juga. Kembar kepada Ri In. Namun dalam pada masa yang sama dia takut. Dia takut untuk menerima Jimin.

Berbelas tahun berlalu tanpa sebarang berita mengenai anak gadisnya yang seorang ini dan tiba-tiba sahaja Jimin muncul. Sungguh dia sangka Jimin sudah mati namun ternyata telahannya meleset.
Namun apa yang paling dia risau mengenai gossip yang mungkin sudah tersebar luas di sekeliling Bandar. Dia takut rahsia yang tersimpan rapi berbelas tahun akan terbongkar dalam sekelip mata. 

Mereka ada nama dan maruah keluarga yang harus dijaga. Jika rahsia itu diketahui masyarakat sekeliling, entah mana dia mahu meletakkan muka. Selama ini keluarga mereka dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai salah satu keturunan pengasas Bandar Roselle dan juga penjaga keamanan negeri ini dan tidak salah jika dia katakan kehadiran Jimin mungkin boleh merosakkan segala-galanya.

“Ah,” Jimin mencapai minuman panas dihadapannya sebelum menghirup minuman berkenaan sebelum menyambung, “tapi sayangnya. Sama ada kalian suka atau tidak, kalian tak boleh nafikan yang Ri In perlukan kehadiran saya untuk terus hidup. Sumpahan berbelas tahun lamanya yang cuba dihalang kini sedikit demi sedikit mula memamah dalamannya. Ironi bukan?”

Tuan Jung menggetap gigi sebelum memusingkan badannya menghadap Jimin. Adakah anak gadis ini mahu mengugut mereka?

“Jadi, apa yang kau mahukan daripada kami sebenarnya? Aku yakin kedatangan kau ke sini pasti ada tujuan. Adakah Lord Hwang mahukan sesuatu dari kami lantas kau dia utus kemari?”

“Lord Hwang? Dia dah lama hilang entah ke mana. Tapi jika ada benda yang saya nak dari kalian ialah kehidupan normal seperti orang lain.”

Puan Jung menatap wajah Jimin. Wajah anak gadis itu saling tak tumpah seperti Ri In. Yang membezakan Jimin dan kembarnya itu ialah setiap kali Jimin tersenyum akan ada lesung pipit yang kelihatan dan juga pandangan mata yang mencerminkan kekosongan. Mati tanpa perasaan dan sedikit sebanyak dia harus akui mungkin apa yang terjadi dahulu menyebabkan Jimin jadi begini. Naluri keibuannya mulai tersentuh namun dia masih tidak berani untuk menghulurkan tangan untuk menggapai anak gadisnya yang ini.

Tuan Jung menarik nafas dalam. Media? Dia boleh kawal platform itu mengikut kehendaknya namun perkara pertama yang harus dia buat adalah memastikan Jimin tak akan membocorkan rahsia yang sudah lama dia dan keluarganya simpan rapi.

“Aku akan bagi semua benda yang kau mahu. Tapi ada syaratnya.”

Jimin jongket kening belah kanan mendengar kata-kata Tuan Jung. “Sila beritahu saya apa syarat-syaratnya dan saya akan beritahu syarat-syarat saya untuk kekal di sini dan pastikan Ri In terus hidup.”
--
Chanyeol mengerling sekilas ke arah Kai yang setia duduk di pinggir katil. Wajah sahabatnya itu tampak risau sementelah sudah hampir satu jam berlalu namun masih tiada tanda-tanda Ri In akan bangun.

Dia membuang pandang ke arah luar. Kocek seluar diseluk dan dia mengenggam erat seutas rantai yang ingin dia berikan pada Ri In di penghujung majlis hari jadi gadis itu. Namun segala-galanya gagal apabila ada tetamu tak di undang muncul.

Kening Chanyeol hampir bertaut. Ri In baru sahaja meluahkan resahnya padanya dan tiba-tiba sahaja apa yang diceritakan Ri In menjadi kenyataan dalam sekelip mata. Dia sendiri hampir keliru melihat figura yang muncul tadi. Wajah gadis itu benar-benar menyerupai Ri In. Yang membezakan mereka berdua mungkin pandangan dingin gadis itu.

“Kau rasa siapa perempuan tadi? Adakah dia ada kaitan dengan keluarga Jung?”

Chanyeol menoleh ke arah Kai yang kini menala pandangan ke arahnya. “Aku tak tahu, Kai. Mungkin Tuan Jung boleh jelaskan pada kita jika kita tanya pada dia nanti?”

Kai menarik nafas sedalamnya sebelum menghembuskanya kembali. Pandangannya kembali ditala pada Ri In yang masih tak sedarkan diri.

“Hari dah hampir lewat malam. Malam ni macam mana pun aku kena bertugas. Kau nak tunggu Ri In sampai dia sedar?” Kai bangkit dari duduknya.

Chanyeol tersenyum nipis. Alangkah bahagianya dia jika dia dapat menjaga Ri In sepanjang malam. Namun dia pasti, dia bukan orang pertama yang Ri In mahu lihat sebaik saja gadis itu sedar.

“Aku boleh ambil alih tugas kau malam ni. Kau tolong jaga Ri In.”


“Tapi-“ Kai tergelak kecil apabila Chanyeol menjelirkan lidah sebelum pantas keluar dari bilik Ri In. Dia kemudian duduk di sebelah Ri In sebelum menggapai tangan gadis itu. Mengharap semoga gadis itu akan lekas sedar.

1 under spell:

Anonymous said...

Best sgt
Truskn sis
Fighting !!

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review