Tuesday, April 5, 2016

Blood Tie; The Beginning ✫39✫

Posted by Snow_Queen at 7:55 PM
Anehnya suasana pada malam ini sunyi sepi sekali. Hatta tidak kedengaran bunyi suara unggas hutan sekalipun. Yang tinggal hanya bunyi dengung yang terhasil daripada mulut pengikut-pengikut Hyness yang seakan membaca mantera meskipun butir bicara mereka tidak begitu jelas kedengaran.

Hanna terapung di udara, memerhati keadaan sekeliling. Misi dia hanya satu pada malam ini. Hyness harus dibunuh dan dia akan pastikan tiada siapa  pun yang akan dapat bangkitkan Hyness dan juga Black Witch pada masa akan datang.

Waktu sudah semakin hampir ke detik tengah malam. Pengikut-pengikut Hyness sebahagiannya duduk mengelilingi tapak upacara penyembahan dan sebahagian lagi dikerahkan untuk menjaga sekeliling. Khuatir jika ada yang bakal menganggu mereka pada malam ini.

Nafas Hanna hampir tertahan melihat jasadnya dibawa keluar dari kurungan bawah tanah ke atas. Sungguh dia risau jika Hyness dapat menghidu sesuatu yang aneh tentang jasadnya. Salah seorang pengikut Hyness kemudian membawa jasadnya berdiri berhampiran sebuah keranda kayu yang tampak sedikit kotor dengan kesan tanah. Di atas keranda berkenaan, terdapat sebuah buku berkulit tebal yang mana tulisan-tulisan aneh menghiasi kertas putih yang sudah kekuningan tanda sudah dimamah usia.

Hanna segera menghampiri jasadnya sendiri sebelum pandangannya jatuh ke arah keranda berkenaan. “Kau rasa rancangan kita akan berjaya?” Hanna berbisik halus.

Yui cuba untuk tidak tersenyum sinis dengan pertanyaan Hanna lantas dia hanya menjeling sinis sebagai ganti sebelum mulutnya menggumam sesuatu. Bertanya jika Hanna mahu menarik diri di saat-saat akhir.

Hanna menggeleng kepala. Dia sudah sampai ke tahap ini. Mana mungkin dia akan menarik diri pada saat-saat akhir. Lagi pun ini memang niat asalnya yang awal. Dia mahu membantu Jae Joong untuk menghabisi nyawa Hyness.

Yui dan Hanna serentak berpaling ke satu arah apabila bunyi derapan tapak kaki kedengaran. Beberapa ketika kemudian, Hyness muncul dikelilingi dengan sekumpulan orang bawahan yang mengiringinya ke atas altar di mana jasad Black Witch dan Hanna berada.

Hyness tersenyum sinis melihat wajah Hanna yang pucat. Sempat dia melihat sekeliling dengan wajah bongkak dan bangga. Bangga rancangannya akan berjaya pada malam ini. Dan selepas ini, dia akan penjadi pemerintah untuk kedua-dua dunia.

“Detik tengah malam sudah semakin hampir. Lima minit lagi sebuah dunia baru akan bermula dan aku sebagai pemerintah dunia baru berkenaan akan pastikan setiap jajahan elders akan jatuh ke tangan kita dan setiap daripada kamu di sini akan diberi jawatan yang akan menyenangkan hidup kamu kelak!” Hyness ketawa galak apabila suara-suara pengikutnya bergema memecah kesunyian malam.

“Sebahagian orang-orang kita sedang berjuang dan melawan askar-asker elders yang mahu menghalang niat kita pada malam ini. Kita tak mahu saudara kita mati sia-sia sahaja jadi…Kita harus pastikan rancangan kita berjalan dengan lancar.” Sambung Hyness apabila suara sorakan pengikut-pengikutnya semakin rancak bersorak.

Hanna mengerutkan kening apabila Hyness tiba-tiba sahaja berpusing menghadap arah jasadnya. Dia menggetap bibir bawah apabila jasad aunty Celia dibawa ke hadapan dengan sebilah pisau terhunus di tengkuk ibu saudaranya.

“Hanna. Kalau kau beri kerjasama pada aku malam ini, aku akan pastikan mak cik kau hidup. Aku akan pulangkan dia pada tempat asalnya. Aku akan pastikan orang-orang aku tak ganggu keluarga mak cik kau bila aku jadi pemerintah dunia baru ini.”

“Aku tak ada pilihan lain bukan? Tapi jaminan perkataan kau saja tak cukup. Aku perlukan lebih dari itu.” Yui mengekalkan ekspresi wajah yang tenang meskipun dia dapat rasa keringat dingin mengalir di belakang tubuh. Berpura-pura menjadi orang lain bukan suatu tugasan yang mudah!

“Kau tak ada pilihan melainkan meletakkan kepercayaan kau pada aku. Ritual harus bermula sekarang!” Hyness memberi isyarat agar buku tebal yang terdapat di atas keranda Black Witch diserahkan pada Hanna. Dia melangkah ke belakang setapak sebelum tangan ibu saudara Hanna diraih. Ia adalah sebagai amaran pada Hanna jika Hanna cuba untuk membelot, Celia akan mati serta-merta.

Yui menjeling sekilas ke arah Hanna disebelahnya. Riak wajah yang risau jelas tertera di muka gadis itu. “Ingat! Apa pun yang bakal berlaku, jangan sesekali kau hilang fokus.” Perlahan Yui berbisik untuk memastikan tiada sesiapa yang mendengar patah bicaranya sebelum dia berdehem perlahan.

Matanya berlari melihat aksara-aksara di dalam bahasa browlia yang terdapat di dalam buku berkenaan dan mulutnya mula terkumat-kamit membaca mentera sebaik sahaja Hyness memberi isyarat untuk meneruskan upacara.

Hanna menoleh ke arah belakang apabila dia mendengar bunyi jeritan bergema. Sesekali bunyi berkenaan bertingkah dengan bunyi besi berlaga. Entah mengapa firasatnya kuat mengatakan Jae Joong dan yang lain-lain sedang dalam perjalanan ke sini.

Dia kemudian segera kembali menghadap ke arah hadapan apabila kilat mula memancar di dada langit diikuti dengan angin kencang yang mula merempuh kawasan mereka. Pandangannya difokuskan ke arah keranda di hadapan, kini menunggu isyarat daripada Yui.

Yui masih kekal tenang dalam jasad Hanna. Sesekali matanya melirik ke arah Hanna dan Hyness meskipun bibirnya tetap bergerak, menyebut satu demi satu mentera dengan jelas. Penutup keranda Black Witch terbuka sendiri dan jasad yang tak dimamah usia perlahan-lahan terapung di udara.

Yui menekan tumit ke tanah apabila guruh dan petir selang-seli mula memancar di dada langit. Bumi seakan bakal terbelah dua akibat daripada gegaran kuat yang terhasil dan beberapa saat kemudian keadaan kembali tenang.

Sunyi sepi melanda tapak kawasan ritual buat beberapa saat. Hyness tala pandangan pada jasad Black Witch yang kini perlahan-lahan turun ke bawah seolah-olah ada tangan ghaib yang menarik jasad itu masuk kembali ke dalam keranda, tempat ahli sihir berkuasa itu bersemayam berabad lamanya.

“Ingat, kalau kau main-mainkan aku, aku tak teragak-agak untuk bunuh satu-satunya saudara kau yang tinggal Hanna.” Hyness memberi isyarat pada dua orang kuatnya untuk mengepung Hanna dengan senjata tajam. Bersedia untuk menghabisi nyawa gadis itu juga jika rancangannya pada malam ini gagal.

Sebelum sempat Yui berkata-kata, semua mata yang ada melarikan pandangan mereka ke arah keranda apabila batuk kecil kedengaran dari dalam keranda. Beberapa ketika kemudian, satu jasad yang digeruni sekian lama bangkit keluar daripada keranda. Meskipun wajah Black Witch kekal pucat, namun wanita itu seolah-olah ada aura yang tersendiri apabila dia perlahan-lahan bergerak, memerhati suasana sekeliling.

Sebuah gelak halus terlepas keluar daripada mulut Black Witch. “Jadi..Siapa yang berani menggangu lena aku?”

Hyness segera menapak ke hadapan. Lelaki itu segera melutut di hadapan Black Witch sebelum tangan kanan wanita berkuasa itu di raih dan dikucup. “Maafkan aku kerana menggangu lenamu, Black Witch.”

Black Witch mengecilkan matanya. Pandangannya kekal tertancap pada Hyness. “Apa mahu mu?”

“Aku mahu menyambung hasratmu yang telah lama tertangguh. Bukankah kau mahu menguasai kedua dunia yang selama ini di pegang oleh elders? Aku mahu menolongmu menguasai kedua dunia dan aku akan pastikan kau memegang tampuk pemerintahan dua dunia selama mana kau bernafas.” Hyness kekal memandang tanah. Segarit senyuman sinis terukir di bibir. Black Witch hanyalah sebuah alat yang dia perlukan untuk menguasai dua dunia. Melalui Black Witch, dia akan pastikan hasratnya tercapai.

“Hanna!”

Jae Joong menyumpah apabila dia melihat figura yang tidak sepatutnya bangkit kini sudah berdiri tegak di atas altar bersama Hyness dan para pengikutnya. Pandangannya kemudian beralih pada Hanna yang dipegang erat oleh dua orang pengikut Hyness dan juga ibu saudara buah hatinya yang dikawal rapi.

Sungguh dia kecewa kerana mereka sudah terlambat. Hyness merancang semua perkara dengan teliti untuk hari ini dan sungguh dia tak sangka yang mereka semua akan menemui halangan yang tak diduga di pertengahan jalan. Semuanya untuk Hyness meraih waktu yang secukupnya untuk upacara bangkitkan Black Witch.

“Aku tahu kita sudah terlambat. Tapi ingat Jae, kita harus berjuang habis-habisan untuk memerangi mereka. Jika kita mati, kita mati dalam keadaan bermaruah.” Yunho menepuk lembut bahu Jaejoong sebelum dia memberi isyarat pada orang-orang bawahannya dan orang-orang bawahan elders yang mengelilingi tapak altar perlahan-lahan mara ke hadapan.
-
Tapak pemujaan yang sudah sekian lama tidak dikunjungi oleh jasad-jasad bernyawa kini sudah bertukar menjadi medan perang. Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini dan merah darah mewarnai medan perang kecil ini. Bunyi teriakan dan senjata bersilih ganti. Sekali-sekala diselang-seli dengan percikan api di udara.

Yui menarik nafas lelah. Sudah berabad lamanya dia tidak bertempur dan untuk mengekalkan stamina sambil melindungi jasad Hanna bukannya mudah. Berada dalam bentuk roh membuatkan kemahiran mempertahankan dirinya sedikit tumpul dan dia mengambil sedikit masa untuk biasakan diri dengan menggunakan tubuh Hanna.

Mata pisau dibenam tepat ke arah dada musuhnya sebelum dia menendang tubuh badan pihak lawan. Darah membasahi jemari namun tak sedikit pun dia endah dengan keadaan itu. Sebaliknya dia lekas menghala ke arah Jaejoong untuk membantu lelaki itu.

Kaki seorang lelaki botak yang cuba menyerang hendap Jae joong dilibas dari arah bawah sebelum dia lekas bangkit dan menghentak tumit kasutnya tepat ke batang leher si botak. Si botak menggelupur buat beberapa ketika sebelum roh berpisah dengan jasad.

“Hanna, kau tak apa-apa?” Jae joong menyoal ringkas meskipun rasa hairan terbit di dalam hati. Sepatutnya Hanna memihak pada Hyness apabila ritual sudah berlangsung. Tapi mengapa gadis itu memihak kepada mereka sekarang? Adakah Hyness merancang supaya Hanna kelihatan menyebelahi mereka sebelum gadis itu belot dengan bunuh mereka seorang demi seorang?

Atau Hanna berada dalam keadaan sedar sepenuhnya apabila dia melakukan ritual itu tanpa berada di bawah pengaruh Hyness? Mungkin Hyness mengugut Hanna dengan menjadikan ibu saudara gadis itu sebagai umpan, sekaligus menyebabkan gadis itu tiada pilihan melainkan menurut perintah Hyness.

Jaejoong menggetap bibir. Semakin banyak persoalan yang timbul, semakin dia hilang tumpuan dan dia tak boleh biarkan benda itu terjadi dalam keadaan genting sekarang.

“Masa kita terhad, budak. Kau harus ikut aku cari Hyness dan Black Witch sebelum mereka terlepas keluar daripada kawasan hutan ni.” Yui menarik lengan Jae Joong selepas dia menumpaskan seorang lagi musuh yang menjadikan mereka sebagai sasaran.

Kening Jaejoong bertaut melihat cara Hanna bercakap dengannya. Perasaan tidak enak mula menguasai diri namun entah mengapa dia tidak membantah  dan mengikuti langkah Hanna. Dan sedar-sedar sahaja, Yunho, Junsu, Changmin dan juga Yoochun sudah mengekori dia dan Hanna dari arah belakang. Entah bila Hanna memanggil yang lain-lain untuk mengikuti mereka berdua dan meninggalkan medan perang pada orang-orang bawahan mereka, orang-orang bawahan elders dan juga orang-orang kesayangan kawan-kawannya; Kyra, Yoora, IU dan juga Hae Jin untuk mengetuai perlawanan sekarang.





 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review