Monday, January 25, 2016

Blood Tie; The Beginning ✫37✫

Posted by Snow_Queen at 8:59 PM
             Mata dikerdipkan beberapa kali untuk menyesuaikan penglihatan dengan suasana bilik kurungan yang suram sebaik saja dia terjaga. Hanna membuang pandang ke arah jendela kecil yang dipasang geril besi di hujung bilik kurungan. Serasa sudah lama dia terlelap namun mengapa masih malam kelam diluar sana? Atau sebenarnya dia yang berasa masa bergulir lambat apabila duduk di dalam kurungan ini?

             Pandangan diliarkan ke sekeliling untuk mencari susuk tubuh aunty Celia namun yang ditemui hanyalah kekosongan. Pasti Hyness sudah mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan ibu saudaranya daripada kurungan ini. Itu apa yang difikirkannya sehingga pandangan mata tertancap ke arah susuk tubuh yang berdiri tegak di sudut kurungan, terlindung di sebalik bayang-bayang malam.

              “Aunty..” Lemah dia memanggil untuk memastikan ibu saudaranya baik-baik saja namun yang diterima hanyalah kebisuan. Hanna memicingkan pandangan ke arah sudut bilik kurungan sekali lagi dan apa yang dia lihat hanyalah kekosongan di sudut itu. Tiada lagi susuk tubuh yang terlindung di sebalik kegelapan.

               Keningnya hampir bertaut. Dia begitu pasti bahawa ada seseorang yang berdiri di sudut itu meskipun yang dia nampak adalah sepasang kaki. Ke mana menghilang susuk tubuh itu? Atau dia sebenarnya sudah gila? Gelak kecil terlepas daripada bibir mungilnya. Tidak sampai separuh hari dan dia sudah hilang akal?

               “Hanna.”

               Nafasnya tertahan pabila ada suara kecil yang berbisik di cuping telinga. Dia cuba untuk berpaling namun gagal. Seolah-olah ada tangan ghaib yang memegang kepalanya supaya dia kekal memandang ke arah hadapan sahaja. Yang dia pasti, siapa pun yang berdiri di belakangnya kala ini, orang itu bukan aunty Celia.

                “Siapa kau?

                Hanna menahan nafas apabila pemilik suara hanya ketawa kecil. Seolah-olah mengejek dia kala ini. Bibir bawah diketap kejap tanda geram.

               “Aku dah beri amaran bukan? Jangan sesekali jejakkan kaki ke Underworld lagi. Kenapa kau tak endahkan amaran aku?”

               Mata dipejam rapat. Cuba meraih memori-memori yang tersimpan kemas di dalam kotak ingatan jika ada seseorang yang memberi amaran padanya namun yang terlintas di dalam fikirannya hanyalah suara-suara yang memberi amaran di dalam lena dan perlahan-lahan dia mulai mengingati suara itu. Mustahil sesuatu yang bersifat mimpi mampu wujud di alam nyata!

               “Betul. Kita sudah beberapa kali berjumpa di alam bawah sedar kau. Aku cuba untuk lindungi kau tapi mengapa kau sengaja campakkan diri kau sendiri ke dalam kancah bahaya?”

                Nafas yang tertahan semenjak tadi dilepaskan perlahan pabila seraut wajah pucat dan iris mata merah menyapa pandangan mata sebaik saja dia buka mata. “M-mustahil..” Hanna menggumam sendiri di bawah nafas.

                “Tiada apa yang mustahil, Hanna. Meskipun aku hanyalah roh yang selalu hadir dalam mimpi kau tak bermakna aku tak mampu wujud di alam sedar kau. Aku wujud untuk lindungi diri kau.”

                 Hanna menggeleng perlahan tanda dia enggan mengakui hakikat yang sedang dibisikkan padanya. “Aku tak pernah minta bantuan sesiapa.”

                 “Memang betul kau tak pernah meminta bantuan sesiapa tapi ibu kau dan aku sudah mematerai perjanjian bersama lama dahulu. Aku hanya akan bangkit apabila kau berada dalam bahaya yang boleh mengancam nyawa kau.” Yui, atau lebih dikenali sebagai helios; penjaga manusia berketurunan elders di alam kegelapan menapak hampir ke arah Hanna. Kali ini lebih dekat sehingga wajah mereka hampir bertembung.

                  “Ibu buat perjanjian dengan kau?” Keningnya hampir bertaut sekali lagi. Tidak pernah pula dia tahu akan hal itu daripada mulut Ean mahupun Jaejoong dan yang lain-lain.

                   Yui tersenyum senget. Wajah Hanna ditilik bermula daripada alis kening sehingga ke bibir gadis itu. “Kasihan. Kau masih tak tahu asal usul diri kau dengan jelas bukan?” Sengaja dia menggumam perlahan.

                  “Kalau tujuan kau berada di sini untuk tolong aku..lepaskan aku daripada kurungan ini.” Hanna menatap tajam wajah pucat di hadapannya namun riak wajahnya berubah apabila Yui ketawa. Seolah-olah mengejek.

                 “Aku hanyalah roh. Aku tak boleh buat apa-apa sangat.”

                  Hanna melihat tangan Yui yang menembusi jari-jemarinya apabila gadis itu cuba memegang tangannya. Kini terasa bengang pula apabila dia terasa dipermainkan.

                 “Kalau macam tu tak ada gunanya kau wujud kalau kau tak mampu buat apa-apa.” Hanna membalas dengan nada sinis namun nafasnya tertahan sekali lagi pabila Yui menyeringai.

                 “Melainkan…kau beri kebenaran untuk aku pinjam tubuh badan kau. Itu pun kalau kau percayakan aku.”

                  Hanna melarikan pandangan ke arah lantai yang kotor. Masa terasa semakin menghimpit tetapi mampukah dia mempercayai roh yang hanya menonjolkan diri di alam lenanya selama ini? Bagaimana jika Yui terus menguasai badannya dan dia terus tidak sedar buat selama-lamanya?

                  Pelbagai persoalan mulai memenuhi benak fikiran namun semuanya hilang apabila dia dapat mendengar bunyi karat pintu besi yang ditolak daripada luar, menandakan ada seseorang yang bakal menjengah ke dalam bilik kurungan ini tak lama lagi.

                 “Masa kau semakin suntuk Hanna. Percayakan aku atau kau tak akan ada peluang untuk selamatkan diri kau lagi.”


                “Baiklah. Aku percayakan kau. Tapi..” Hanna memandang tepat ke arah wajah Yui bersama senyuman sinis tersungging di bibir dan dengan tegas dia memuntahkan permintaanya.

2 under spell:

airel zakwan said...

Apakah permintaa dya????
Please continue.......
😢😢😢 i need more n more.

Fizryn Arisha said...

Bila boleh abis ni? :-(

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review