Wednesday, November 14, 2012

Blood Tie; The Beginning ✫20✫

Posted by Snow_Queen at 10:59 PM


Aku memandang pintu pagar berwarna hijau lumut yang bertahtakan zamrud di hadapanku. Tanpa membuang masa, aku terus sahaja masuk ke dalam kumpulan pelajar tadi dan berpura-pura seolah-olah aku merupakan salah seorang dari mereka.
Nasibku baik apabila pengawal yang mengawal pagar berkenaan tidak perasan akan kehadiranku. Aku berpisah dengan kumpulan pelajar berkenaan apabila kami sampai di hadapan sebuah bangunan klasik yang agak besar.
Ramai pelajar dan juga guru sibuk berkejar untuk menyelesaikan urusan mereka. Aku menarik nafas dalam. Akhirnya, aku berjaya menjejak kaki ke sini.
Sebuah tempat di mana ayah dan ibuku pernah berada dan menuntut ilmu. Perhatianku terganggu apabila aku terdengar satu pekikan yang kuat.
Tidak lama kemudian, beberapa orang pelajar berpusu-pusu menuju ke satu arah. Oleh kerana aku memang dilahirkan dengan sifat ingin tahu yang tinggi, aku segera mengekori kumpulan pelajar tadi.
Apabila sampai di satu tempat, aku lihat di hujung padang terdapat seekor makhluk pelik yang tidak pernah aku lihat selama ini di dunia manusia.
Beberapa orang lelaki berdiri di dalam jarak tertentu mengelilingi makhluk berkenaan.
Aku mencuit bahu pelajar di hadapanku seraya bertanya apa yang telah terjadi.
“Kau tak pernah tengok Maxim ke? Makhluk ni antara makhluk mitos di underworld. Dengar kata kalau orang yang sakit terkena air liur makhluk ni, penyakit orang berkenaan akan sembuh serta-merta dan mempunyai tenaga dalaman yang sangat kuat. Tsch! Aku hairan macam mana makhluk ni boleh sesat ke sini bla…bla..bla..” Aku segera meninggalkan budak berkenaan apabila sudah malas mahu mendengar ulah beliau.
Dengan perlahan-lahan, aku melangkah pergi untuk mencari pejabat pengetua Evernight.

Aku terus tersenyum nipis meskipun muka pengetua Evernight di hadapanku berkerut-kerut memerhatikan aku.
“Aku tak sangka kau boleh buat keputusan besar begini.” Akhirnya Ean membuka bicara setelah hampir sepuluh minit memerhatikan wajahku. Mencari jerawat di muka ku yang licin ini barangkali hehe..
“Saya hanya mahu mengetahui dan mengenali susur galur keluarga saya sendiri.” Aku berdehem perlahan sebelum membuang pandang ke arah belakang Ean.
Meskipun lelaki di hadapanku ini menyuruhku memanggilnya Ean, aku terasa sedikit janggal mengenangkan dia mungkin sebaya dengan ayahku.
“Masuk ke dalam dunia underworld ini banyak keburukan daripada kebaikan dan adakalanya, adalah elok sesuatu perkara itu ditinggalkan menjadi rahsia.” Kini giliranku pula mengerutkan dahi. Cuba memahami maksud lelaki tua di hadapanku ini.
“Senja sudah mahu menghampiri. Bahaya untuk kau pulang ke hotel di Bandar pada waktu ini. Aku akan suruh orang hantarkan kau ke presint prince dahulu untuk bermalam dan berehat. Esok, kita akan sambung berbual.” Ean memetik jarinya dua kali sebelum pintu di belakangnya terbuka.
Seorang lelaki kerdil masuk dan memandang Ean untuk memberi arahan.
“Bawa tetamu khas ini ke presint prince.”
“Tapi…” Orang kerdil berkenaan terdiam apabila Ean menjeling tajam.
“Silakan, cik.” Lelaki kerdil berkenaan memandangku dengan pandangan penuh makna. Aku segera bangun sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Ean.
Presint prince ialah…”
Presint prince merupakan rumah singgahan para tetamu kehormat Evernight. Rumah agam berusia ratusan tahun ini merupakan salah satu bangunan kebanggaan Evernight. Di sana cik mungkin akan terserempak dengan beberapa orang tetamu lain.”
Aku mengangguk mendengar penjelasan orang suruhan Ean. Selepas itu, perjalanan kami hanya dihiasi dengan hanya dengusan nafas masing-masing.
***
Pandangan ditalakan ke arah luar. Remang senja sudah kelihatan dan matahari kini hanya menunggu masa sahaja untuk tenggelam.
Aku melepaskan sebuah keluhan perlahan. Wajah Ean muncul di fikiran. Mengikut diari ayahku, Ean merupakan salah seorang kawan baiknya. Mereka berdua saling mengenali semenjak ayah mula menuntut di sini.
Kata-kata Ean ada benarnya. Masuk ke dalam underworld merupakan keputusan paling sukar yang pernah aku buat. Apatah lagi mengenangkan aku terpaksa meninggalkan orang-orang yang aku sayang.
Namun aku tidak lagi betah tinggal di dunia manusia setelah lima sekawan itu pergi. Aku rasa tersisih di dunia manusia. Mungkin itu hanyalah perasaanku namun aku rasa sangat gembira saat menjejakkan kaki ke sini.
Seolah-olah aku telah pulang ke rumah setelah lama tersesat. Meskipun underworld penuh dengan tipu muslihat, aku percaya aku mampu menjaga diriku di sini sebaik mungkin.
Aunty Celia…Cat…Maafkan aku kerana menghilangkan diri begitu saja. Mungkin pada suatu hari nanti, aku akan pulang setelah aku bersedia.
Selalu iringi aku dengan doa kalian…..
---
Suasana berkabus menyebabkan penglihatanku terganggu meskipun aku dapat melihat dengan jelas kawasan sekitarku.
Tanpa arah tujuan, aku berjalan dan terus berjalan sehinggalah aku mendengar bunyi gerakan angin yang pantas seolah-olah sedang mengejar sesuatu.
Aku mengecilkan mata apabila melihat terdapat satu figura berdiri di hadapanku.
“Pergi dari sini…” Meskipun suara itu hanya sekadar bisikan, namun aku dapat dengar dengan jelas bisikan berkenaan.
“Jangan bazirkan masa kau di sini.” Aku terus terbangun apabila satu pusaran angin hitam besar menuju laju ke arahku.
Aku memandang ke arah hadapan apabila terlihat akan kehadiran seorang budak perempuan yang mungkin dalam lingkungan tujuh atau lapan tahun sedang berdiri memandangku dengan renungan menakutkan.
“Cik muda, kan saya dah kata jangan sesuka hati masuk bilik orang lain.” Aku pandang pula ke arah pintu apabila masuk seorang perempuan yang sudah berumur masuk ke dalam bilikku untuk mendapatkan budak perempuan berkenaan.
“Saya minta maaf kalau cik muda menakutkan awak.” Perempuan tua berkenaan menundukkan sedikit badannya tanda meminta maaf.
“Ah…Tak mengapa.” Aku mengukir senyuman nipis sebelum berpaling ke arah jendela yang terbuka luas setelah kedua-dua tetamu tak diundang berkenaan keluar.
“Semoga semuanya berjalan dengan lancar hari ini.” Aku melafazkan kata-kata berkenaan sebelum bangun dan membersihkan diri.

0 under spell:

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review