Sunday, July 8, 2012

My Butterfly-> 33

Posted by Snow_Queen at 12:05 AM

Meskipun angin malam mencucuk sehingga ke tulang hitam, Yu Na tetap setia bermeditasi di atas bukit kecil itu dengan hanya ditemani cahaya bulan.
Amalan meditasi ini, selain menolong melancarkan darah dan baik untuk kesihatan, ia juga menolong Yu Na untuk menajamkan tumpuan terhadap sebarang pergerakan menggunakan deria bau dan bunyi.
Namun entah mengapa malam ini, dia terasa lain macam. Oleh kerana merasakan dia tidak dapat menumpukan perhatian seratus peratus pada meditasinya, dia berhasrat untuk pulang namun sebaik saja dia buka mata, darahnya berderau serta-merta.
Dia kini tidak berada di atas bukit kecil tempat meditasinya namun dia berada di dalam hutan entah di mana.
Yu Na bangun dan memerhatikan keadaan sekeliling. Entah mengapa dia seakan-akan mengenali tempat ini.
Dengan penuh hati-hati, dia berjalan menuju ke arah utara dengan harapan akan menemui jawapan apa yang membawa dia ke sini.
Langkahnya terhenti apabila melihat seorang gadis yang muncul entah dari mana berdiri di hadapannya.
Dia cukup mengenali gadis itu meskipun hanya cahaya bulan yang menerangi kawasan sekeliling.
“Kita berjumpa lagi…” Alice menyeringai memandang Yu Na.
“Kau bukan Alice. Kau adalah tunang Bilbert bukan? Apa yang kau dah buat pada Alice?” Yu Na memicingkan pandangan matanya memandang Alice.
“Nama aku juga Alice. Dan kebetulan budak ni mempunyai wajah yang sama dengan aku. Aku tak ada masa nak beramah mesra dengan kau. Jangan cuba masuk campur urusan kami!” Alice kelihatan menderam seolah-olah bersedia untuk menerkam Yu Na.
“Aku tak akan mengalah dengan mudah!” Yu Na bersuara dengan tegas. Alice ketawa dan tawannya itu di iringi dengan salakan serigala dari jauh.
Yu Na tidak menunggu lama untuk menyerang Alice. Dia menggunakan jurus angin yang mengakibatkan tubuh Alice terhentak ke atas tanah.
“Sial!” Alice menyumpah. Tangan kirinya memegang dada kanannya. Bisa jurus angin Yu Na terasa sehingga ke tulang.
“Kalau kau apa-apakan aku, budak ini akan mati sekali.” Alice bangun kembali.
“Aku tak akan menyesal untuk bunuh budak tu semata-mata untuk membendung kejahatan di muka bumi ini.” Alice menggetap bibir bawahnya. Nyata Yu Na bukan calang-calang lawan dan dia silap percaturan kerana menarik Yu Na ke alam bawah sedar ini.
Yu Na memandang sekeliling apabila Alice menghilang tiba-tiba. Langkahnya di atur dengan kemas sebagai langkah berjaga-jaga jika Alice muncul kembali namun setelah menunggu lama, tiada tanda-tanda perempuan durjana itu akan muncul.
Yu Na mengerutkan kening apabila dia sampai di hadapan sebuah paya yang memisahkan tanah yang sedang dia berdiri ini dengan tanah seberang.
Dia memicingkan pandangan apabila melihat sesuatu sedang bercahaya di dasar paya berkenaan.
Elimination Stone!” Yu Na mengambil ranting kayu yang berada berhampiran dengan kakinya sebelum campak ranting berkenaan masuk ke dalam paya berkenaan.
Liur ditelan apabila melihat tangan-tangan ghaib muncul menarik ranting kayu berkenaan masuk ke dalam paya.
“Paya ini ada bahayanya. Tapi aku perlu dapatkan Elimination Stone yang ada di dasar paya ini dengan cara apa sekalipun.”

Ricky menghembus nafas lega sebaik saja melihat Yu Na membuka kembali matanya. Jantungnya hampir melompat keluar dari dada apabila sebentar tadi Yu Na berhenti bernafas.
“Kau okay, Yu Na?” Ricky memandang wajah Yu Na yang sedikit pucat.
“Masanya sudah tiba, Ricky. Yu Na sedang bertarung di alam lain dan kita perlu bertarung di alam nyata ini.” Ricky memandang Yu Na yang tiba-tiba saja berdiri.
“Lady Aryana?” Lady Aryana memandang ke arah Ricky sebelum menunjuk ke arah langit.
Terlopong Ricky apabila melihat warna bulan sudah bertukar menjadi merah darah.
“Panggil orang-orang kita dan ikut rancangan yang sudah dipersetujui. Meskipun mati, aku tak akan benarkan Bilbert hidup kembali!” Lady Aryana menyanggul tinggi rambut Yu Na sebelum bergerak masuk ke dalam hutan di belakangnya. Malam ini adalah malam penentuan!
~~~
Bau hanyir darah menusuk hidung dengan kuat. Lady Aryana melepaskan nafas mengah dan memerhatikan keadaan di bawah. Dia kini berlindung di sebalik pokok berdaun lebat berlindung dari pandangan musuh.
Beberapa orangnya sedang bertarung dengan pengikut-pengikut Turion. Perjalananya masih panjang.
Malam ini dengan atau tanpa Elimination Stone dia akan berikhtiar untuk menghalang kebangkitan Bilbert semula.
Aura Alice dan Lord Devian yang sedang memuja-muja dapat dirasakan dari jauh. Warna bulan kelihata semakin merah.
Dengan pantas, dia berlari dari satu pohon ke satu pohon meninggalkan orang-orangnya di belakang.
Sebelum itu, sempat dia melihat kelibat Ricky yang sedang bertarung dengan manusia jadi-jadian.

Alice bangun dan menuang lagi darah manusia yang mati dibunuh yang diperam selama seratus hari ke atas makam Bilbert sebelum kembali duduk dan membaca mantera.
Pembacaan mereka terhenti apabila mendengar bunyi riuh di luar sana. Alice memandang Lord Devian. Lord Devian mengangguk sebelum bangun menuju ke luar.
Sebaik saja pintu makam bawah tanah berkenaan tertutup kembali, Alice memandang ke udara.
Tubuh Ji Young sedang terapung di udara dilihat dengan senyuman sinis. Setitis demi setitis darah Ji Young membasahi makam Bilbert.
Alice tergamam apabila mendengar bunyi gerakan di dalam makam berkenaan. Dia kembali duduk sebelum menyambung kembali upacara pemujaan meskipun sesekali dia terbatuk-batuk.

“Aku tak sangka kau dapat juga melepasi benteng death spells yang aku kenakan di hutan timur.” Lord Devian memandang ke arah Lady Aryana yang kelihatan sedikit mengah. Wajah dan pakaian wanita itu dilumuri darah.
“Aku tak gentar dengan semua itu. Kau, akan aku habisi malam ini.” Tanpa berlengah, Lady Aryana meluru laju ke arah Lord Devian.
Lord Devian yang dapat membaca gerakan Lady Aryana mengelak ke tepi sebelum memukul belakang badan Lady Aryana dengan hulu senjatanya menyebabkan Lady Aryana jatuh tersungkur ke atas tanah.
“Kau sudah tak setanding dulu, Aryana. Malam ini, kau dan cicit kau akan aku habisi sama seperti dulu.” Lord Devian mengangkat mata pedangnya dengan niat mahu membenamkam senjata itu ke tubuh Lady Aryana namun Lady Aryana terlebih dahulu mengelak dengan bergolek ke arah tepi sebelum membaca spell yang menyebabkan Lord Devian tercampak ke belakang.
Semasa tubuh Lord Devian di udara sebelum tercampak keras ke atas tanah, Lady Aryana sempat memberi pukulan bertalu-talu sebelum membenamkan lelaki itu sendiri ke dalam tanah.
Kesan daripada hentakan itu, beberapa pokok tumbang dan tanah retak. Kelihatan cecair merah mengalir keluar daripada celah bibir lelaki itu.
Niat Lady Aryana yang mahu membenamkan mata senjatanya ke dada Lord Devian terganggu apabila dia tiba-tiba sahaja tercampak ke belakang.
Mata menangkap kelibat Alice yang keluar dari pintu makam. Dia segera bangun dan memandang Alice dengan pandangan tajam.
“Kita berjumpa lagi, Aryana.” Alice memberikan senyuman sinis pada musuhnya.
Lady Aryana melihat langit. Dia menarik nafas lega apabila melihat tiada perubahan pada warna bulan. Jika Bilbert sudah berjaya dihidupkan, warna bulan akan berubah menjadi warna hitam sekaligus ditelan kegelapan malam.
“Dan aku amat berharap ini kali terakhir kita akan bertemu.” Lady Aryana yang baru saja mahu menyerang Alice terhenti pergerakannya apabila melihat Ji Young yang tergantung di udara muncul entah dari mana.
Kedua-dua belah kaki dan tangan lelaki itu kelihatan diikat dengan rantai yang tidak kelihatan penghujungnya.
“Kalau kau tersilap langkah, aku akan habisi nyawa lelaki ini. Seperti mana G.D menderita kehilangan kau, seperti itulah cicit kau akan menderita akibat kehilangan lelaki yang dicintainya akibat kesilapan kau.” Lady Aryana tidak sempat mengelak Alice menyerang dia dengan bebola api.
Dia memegang dadanya yang terasa panas dan perit. Sesekali bebola matanya memandang Ji Young yang tak sedarkan diri.
Lady Aryana merintih kesakitan apabila rambutnya ditarik oleh Alice yang muncul entah bila dan dia pula terpaksa menahan diri daripada menyerang Alice kerana bimbang Ji Young akan di apa-apakan dek Lord Devian yang kini mengawasi Ji Young.
“Aku sengaja tidak menghabisi riwayat G.D sebaik sahaja dia berjaya membunuh Bilbert. Malam itu, yang tinggal hanya aku dan dia sahaja yang berdiri di gelanggang pertarungan. Aku bawakan dia mayat kau.
Wajah dia yang sakit akibat kehilangan kau masih berbekas di ingatan aku. Aku katakan pada dia yang aku mahu dia hidup menderita sepanjang hayat sebelum aku bunuh diri aku sendiri. Siapa tahu entah bagaimana kehidupan G.D selepas itu. Mungkin dia juga bunuh diri sendiri atau dia kahwin dengan perempuan lain dan move on….” Alice tersenyum sinis melihat wajah Yu Na yang menyerupai Lady Aryana.
“Sekarang, giliran kau pula melihat bagaimana aku bunuh Ji Young.” Alice menghentak kepala Lady Aryana ke tanah sebelum bangun menuju ke arah Ji Young.
Dia tahu, Lady Aryana akan gila apabila Ji Young yang menyerupai G.D diseksa perlahan-lahan sebelum dia menghabiskan nyawa Ji Young.
Lady Aryana cuba bangun namun gagal apabila rasa perit di dadanya menyerang. Dia mendongak memandang ke arah Ji Young.
Rantai yang merantai kedua belah tangan dan kaki Ji Young kini sudah hilang namun tubuh Ji Young masih terapung di udara.
Beberapa ketika kemudian, entah dari mana datangnya pula seutas rantai besi yang panjang bergerak perlahan-lahan membuat lingkaran di leher Ji Young.
Air mata wanitanya menitis. Dia sudah dapat bayangkan masa depan Yu Na yang kelam tanpa Ji Young di sisi cicitnya itu. Dia tahu betapa Yu Na mencintai Ji Young.
Dengan kudrat yang ada, Lady Aryana bangkit dan berlari menuju ke arah Alice.
“Axade kvedavra!” Tubuh Alice dan Lord Devian tercampak jauh. Rantai yang membelit leher Ji Young hilang sebelum tubuh lelaki itu perlahan-lahan turun ke tanah.
“Lady Aryana!” Lady Aryana memandang ke arah Ricky yang baru tiba. Ricky memandang Lady Aryana yang memangku kepala Ji Young.
“Lady gunakan spell sumpahan membunuh tu?” Ricky melutut di sebelah Lady Aryana.
“Masa Yu Na dan pemuda ini masih jauh ke hadapan. Selepas ini, tolong sempurnakan tugas aku.” Lady Aryana tersenyum manis ke arah Ricky sebelum meletakan telapak tangannya di kepala Ji Young. Air matanya jatuh setitis dua. Begitu jua dengan Ricky.
Ricky memeluk tubuh Yu Na yang lembik tiba-tiba. Dia memandang wajah Ji Young sekilas sebelum memandang ke arah Yu Na yang masih tak sedarkan diri.
~~~
Yu Na membuka matanya. Dia mengecilkan matanya sedikit kerana dikelilingi oleh cahaya biru yang terang.
Kepala dan dadanya terasa perit berbisa. Dia memandang ke arah Ricky yang sedang berdiri di satu sudut sambil mendepakan tangannya ke arah hadapan.
Yu Na memandang sekeliling apabila mendengar bunyi hentaman yang cukup kuat. Dalam kekalutan itu, terbeliak matanya melihat tubuh Ji Young yang terbaring tidak sedarkan diri di hadapannya.
“Ji Young! Bangun!” Dia menampar pipi Ji Young beberapa kali namun jejaka itu masih jua belum sedar.
“Ricky!” Kali ni dia menjerit memanggil nama Ricky.
“ Aku perlu sempurnakan tugas Lady Aryana tapi aku tak mampu. Aku akan cuba sebaik mungkin untuk melindungi Ji Young. Kau pergi halang kebangkitan Bilbert!” Dalam kepayahan, Yu Na bangkit dan berlari menuju ke arah makam.
Sebaik sahaja sampai di bawah tanah, bau bangkai cukup kuat menusuk hidungnya sehingga membuatkan dia ingin termuntah namun dia menguatkan semangat untuk mencari bilik yang menempatkan mayat Bilbert.

Alice menyumpah seranah apabila dia merasakan tubuhnya tercampak ke udara sebelum terhentak ke dinding.
Dia mendengus kuat apabila melihat tubuh musuhnya di hadapan. Dia tidak pasti sama ada di hadapannya ini Lady Aryana ataupun Yu Na.
Sebaik saja dia bangun tadi, Lord Devian sedang menghentam bebola pertahanan Ricky dan dia melihat Yu Na tidak sedarkan diri.
Dia mengambil kesempatan itu untuk menyampung upacara menghidupkan kembali tunangnya.
“K..Kau dah terlambat. Upacara ini telah lengkap. Sebaik sahaja bulan hilang ditelan kegelapan malam, Bilbert akan bangun dan tiada sesiapa akan dapat menghalang sayap kejahatan meluaskan pengaruhnya di muka bumi ini!” Alice ketawa namun ketawanya terhenti apabila melihat Yu Na sama-sama ketawa bersamanya.
“Dan aku nak tengok sama ada dia mampu bangkit atau tidak selepas ini!” Yu Na tersengih sebelum berlari ke arah makam yang menempatkan jasad Bilbert.
Dia mendepakan tangannya dan tidak lama kemudian muncul seketul batu sederhana besar yang terapung di antara telapak tangan dan makam Bilbert.
“Tidak!!” Alice lekas bangun apabila melihat kemunculan Elimination Stone. Yu Na yang perasan akan Alice yang mahu menyerangnya lekas membenamkan batu itu ke dalam bekas yang menempatkan jasad Bilbert sebelum dia sendiri tercampak kebelakang.

Lord Devian menghentikan serangannya apabila tanah tempat dia berdiri bergegar dengan kuat. Ricky memandang ke langit dan cahaya merah yang melingkari bulan perlahan-lahan beransur pergi.
Dia mengambil kesempatan itu untuk menyerang Lord Devian ketika lelaki itu terpinga-pinga dengan apa yang sedang berlaku.
Lord Devian memegang perutnya apabila merasakan darah panas mengalir keluar. Terketar-ketar dia cuba menutup bekas luka itu namun telah nyawa bercerai dari jasad jua apabila Ricky menghunuskan senjatanya ke batang leher Lord Devian.
Untuk memastikan kejahatan tidak bangkit lagi, Ricky membaca jampi serapah dan tubuh Lord Devian perlahan-lahan hilang ditelan bumi.

Ricky tersenyum apabila melihat Yu Na keluar dari makam berkenaan meskipun berjalan dalam keadaan tempang. Kelihatan jua perempuan itu bersusah payah menarik sebatang tubuh yang teramat-amat dikenali.
“Semuanya telah berakhir…” Yu Na memandang ke arah pintu makam yang telah tertutup kerana ditelan bumi.
Beberapa orang pengikut Lady Aryana termasuk Lord Denise dan juga ayahnya, Tuan Kyu Joong sampai ketika kejadian itu berlaku.
“Tugas aku dah selesai. Jaga diri baik-baik, Yu Na. Gembira dapat berkhidmat untuk kalian semua.” Ricky memandang rakan-rakan seperjuangnya sebelum melemparkan senyuman manis buat kali terakhir untuk Yu Na.
Yu Na gagal menahan air matanya apabila melihat Ricky hilang sedikit demi sedikit sebelum dia sendiri tidak sedarkan diri.
  

0 under spell:

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review