Saturday, July 7, 2012

My Butterfly-> 25

Posted by Snow_Queen at 1:38 AM

Lord Denise sedang mengunci pintu kedainya apabila dia dikejutkan dengan pantulan bayang di permukaan pintu kaca kedainya.
Lord Denise sudah bersedia mahu menyerang orang yang kini sedang berdiri di belakang namun niatnya mati apabila mendengar bisikan tuan punya bayang berkenaan.
“Selamat bertemu kembali Lord Denise.” Lord Denise segera berpusing ke belakang. Wajah pemuda yang cukup dikenalinya menyapa pandangan.
“Ri..Ricky.” Ricky tersenyum nipis sebelum menundukkan sedikit badannya tanda hormat.
“Ta..” Lord Denise melihat sekeliling. “Mari ikut aku.” Ricky mengikut langkah Lord Denise yang kelihatan tergesa-gesa.
Lord Denise mengunci pintu sebaik saja dia dan Ricky selamat sampai ke rumahnya.
Ricky melihat sekeliling rumah Lord Denise. Sebuah rumah sederhana kecil yang hanya mempunyai ruang tamu kecil, satu bilik tidur, dapur dan satu bilik air.
“Kehidupan Lord berubah tiga ratus enam puluh darjah.” Ricky melabuhkan punggung bertentangan dengan Lord Denise apabila lelaki tua itu memberi isyarat agar dia duduk.
Lord Denise ketawa. “Aku tak perlukan kemewahan, Rick. Aku senang dengan cara hidup aku kini.” Ricky mengangguk sebelum menyatakan tujuan sebenar dia mencari Lord Denise.
“Bilbert? Kau kata Bilbert masih hidup?” Api kemarahan Lord Denise menjulang tinggi.
“Betul. Tapi dia telah berpindah ke tempat persembunyian yang baru setelah berpuluh-puluh pengikutnya diserang dan dibunuh saban malam.” Bicara Ricky menarik perhatian Lord Denise.
“Kaukah yang membunuh makhluk-mahkluk sesat tu?”
Ricky tergelak kecil seraya menggeleng. “Lady Aryana.”
Lord Denise kaku seketika apabila mendengarkan nama yang disebut Ricky. “Lady Aryana? Bagaimana? Mustahil!”
“Tak ada yang mustahil. Sedangkan Bilbert yang disangkan mati pun rupa-rupanya masih hidup lagi bukan?”
“Di mana Lady Aryana?” Lord Denise teringin sekali mahu berjumpa dengan rakan seperjuangannya itu.
“Lord Denise pernah berjumpa dengan dia. Malah, dia berkerja dengan Lord lagi.” Lord Denise mengerutkan kening.
“Kau mengarut apa? Yang berkerja dengan aku…” Bicara Lord Denise terhenti apabila teringatkan Yu Na.
“Betul ke?” Ricky mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan Lord Denise.
“Aku tak faham. Kau jelaskan pada aku!”
“Cik Yu Na merupakan cicit kepada Lady Aryana. Kami menggunakan tubuh cik Yu Na sebagai tubuh sementara Lady Aryana sehinggalah Bilbert dapat dihapuskan. Dengan bantuan Tuan Kyu Joong semestinya.
Kini kami sedang mengumpulkan bala tentera untuk menggempur tempat persembunyian Bilbert. Kali ini, kita akan pastikan Bilbert tak akan muncul lagi di sini buat selama-lamanya. Kami mahu Lord Denise menyertai perjuangan kami.” Ricky memandang wajah Lord Denise yang khusyuk mendengar penjelasannya.
Lord Denise mengangguk. Dia langsung tidak mengesyaki Yu Na merupakan cicit kepada Lady Aryana meskipun anak muda itu memilik wajah yang hampir serupa dengan wajah rakannya itu.
Kecuali lesung pipit. Yu Na tiada lesung pipit seperti Lady Aryana.
Dan tak pernah terfikir di fikirannya pun untuk menyelidiki asal-usul Yu Na sementelah Yu Na hanya menyatakan dia cucu kepada Lord Heather, rakan baiknya.
“Aku setuju. Meskipun aku mati, aku tak akan mati dengan penyesalan. Sekurang-kurangnya aku dapat membalas balik perbuatan jahat Bilbert pada keluarga aku dahulu.” Lord Denise menggenggam penumbuk.
“Kalau Lady Aryana hidup menggunakan tubuh Yu Na, mengapa dia tak menegur aku?”
“Sebab Lady Aryana hanya menggunakan tubuh cik Yu Na pada waktu malam saja. Dan dia memerlukan kehadiran saya di sisinya untuk menggunakan tubuh cik Yu Na. Tanpa saya, Lady Aryana tak akan dapat menguasai tubuh cik Yu Na.” Panjang lebar Ricky memberikan penjelasan. Dan kini dia pula terbuang di Cascada sedangkan Yu Na berada di tempat lain.
“Kami memerlukan pertolongan Lord Denise.”
“Aku akan tolong jika aku mampu.” Lord Denise memberi janji.
“Kami perlukan Elimination stone. Tanpanya peluang untuk kita hapuskan Bilbert cukup tipis. Kami juga dalam usaha mencari batu itu dan saya berharap Lord Denise dapat sama-sama mencari batu berkenaan.” Lord Denise terdiam seketika.
Batu warisan keluarga Lady Aryana sudah cukup lama tak dilihatnya. Kali terakhir dia melihat batu itu ialah pada malam tragedi berdarah di antara keluarga Bilbert dan keluarga Lady Aryana.
“Aku akan cuba cari tapi kau jangan berharap sangat.” Ricky mengangguk.
“Gembira berkerjasama dengan Lord sekali lagi. Saya minta diri dulu. Jika ada apa-apa, saya akan menghubungi Lord Denise sama seperti dulu-dulu.” Ricky bangun dari duduknya.
“Baiklah.” Selepas kelibat Ricky hilang ditelan kegelapan malam, Lord Denise masuk ke dalam biliknya.
“Adakah Heather tahu mengenai hal ini? Adakah kerana dia tahu maka dia suruh aku berbuat apa saja untuk mengalang Yu Na daripada menggunakan magis yang kuat kerana khuatir dalaman anak gadis itu akan tercedera?” Dia menggumam sendiri sehinggalah tertidur.
~~~
Meskipun jarum jam sudah menginjak ke angka dua pagi, namun aku masih terkebil-kebil sendirian dalam kegelapan. Aku merenung siling seolah-olah ada cerita menarik yang terpapar di situ.
Tanpa perlu melihat, aku juga tahu Yu Mi masih belum melelapkan mata apabila mendengar dia asyik berkalih posisi tidurnya.
Mahu saja aku ketawa namun cepat-cepat aku menahan diri. Kalau Yu Mi sedang berada dalam kejutan apatah lagi aku.
Kejutan melihat Kim Bum yang berani mengucup Yu Mi dan juga kerana Ji Yong mengucup dahiku?
Aku tiada niat untuk membincangkan perkara yang terjadi hari ini dengan Yu Mi dan nampaknya dia jua begitu.
Aku mengalih posisi badan ke arah kanan dan menutup mata. Berharap agar dapat lena biar pun hanya selama satu atau dua jam.
Esok, aku harus kembali ke tujuan asal ku ke mari. Untuk membuat sedikit siasatan dan sekaligus melengkapkan misi yang diberi oleh papa.
“Kau harus siasat di mana kedudukan lelaki itu. Selepas itu, urusan kau akan selesai. Selebihnya, terpulang pada papa.”
Kata-kata papa masih lagi terngiang-ngiang ditelingaku. Harap-harap selepas ini, dapatlah aku hidup dengan aman.
Meskipun papa tidak memberitahu lebih lanjut tentang perkara yang sedang disiasatnya tentang lelaki berkenaan, aku sedikit pun tak terkesan dengan perkara itu meskipun berulang kali papa mengatakan lelaki yang diburunya ini bertanggungjawab di atas kemusnahan keluargaku.
Aku mengeluh kecil. Bukan kerana aku tiada hati dan perasaan kerana buat bodoh saja mengenai kejadian yang menimpa ahli keluargaku tapi kerana aku sudah penat dan mahu dibebaskan dari belenggu dendam yang tak berkesudahan ini.
Aku percaya, satu hari nanti, lelaki itu pasti akan dapat hukuman yang setimpal di atas perbuatannya.
It’s just the matter of time…right?

0 under spell:

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review