Monday, February 6, 2012

The Way You Are [28]

Posted by Snow_Queen at 12:44 PM

Hampir terjojol keluar biji mata Mia apabila melihat gerangan penumpang yang duduk di sebelah Yesung di dalam kereta. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia tarik telinga Yesung kerana membawa perempuan itu ke mari.
            Inikah calon yang sesuai untuk menggantikan dia? Kalau ini pilihan Yesung, dia lebih rela menyertai Yesung meskipun lukanya belum sembuh.
            Sekilas dia memandang ke arah Ryu yang juga sedang memandang ke arah Elisabella yang sedang memeriksa senjata-senjata yang bakal mereka gunakan buat kali terakhir sebelum berangkat.
            “Kau orang sudah bersiap se…” Sebelum sempat Yesung menghabiskan kata-katanya, Mia terlebih dahulu menarik Yesung ke satu arah.
           Aku melihat Mia menarik Yesung ke satu arah dengan ekor mataku. Kelihatan Mia sedang memarahi Yesung. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku gantikan Ryu dengan orang lain sekarang namun akal terlebih dahulu memujuk ku.
            Untuk itu, aku terlebih dahulu mengawal ekspresi muka agar tidak terlihat riak ketidaksenanganku dengan kehadiran Angela di sini.
            Setelah hampir satu jam merancang strategi buat kali terakhir, kami berempat berangkat pergi selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Mia, Hangeng, Leeteuk dan Siwon.
            Ryu memandu manakala Yesung duduk di sebelahnya. Aku mengambil tempat duduk di belakang Yesung manakala Angela di belakang Ryu.
            Land rover Porsche kepunyaan Yesung laju membelah lebuh raya di malam kelam. Suasana sunyi menguasai keadaan di dalam kereta. Masing-masing mungkin terasa semacam.
            Aku menarik zip baju panas sehingga ke atas sebelum berpeluk tubuh. Bersiap-sedia untuk masuk ke alam mimpi.
            Di saat ini, aku tak mampu untuk fikir apa-apa pun sementelah sepanjang siang tadi aku sibuk dengan latihan seni mempertahankan diri dengan Eric dan Mia.
            Tanpa perlu menunggu lama, sebaik sahaja mata terpejam, terus sahaja aku masuk ke alam mimpi.
            Ryu mengerling Bella melalui cermin pandang belakang. Bibirnya terukir senyuman apabila melihat wajah polos Bella yang sedang tidur. Ada riak keletihan yang tergambar di wajah itu.
            Sebenarnya sebaik sahaja dia terlihat kelibat Angela terus sahaja dia menjadi tidak senang duduk. Khuatir Bella akan merajuk namun setakat ini, tiada sebarang petunjuk isterinya merajuk. Apa pun, dia berjanji tidak akan membiarkan isterinya makan hati.
            Angela mengerling sekilas ke arah Ryu yang sedang memandu sebelum menoleh ke arah sebelah kirinya. Wajah tenang Elisabella yang sedang tidur direnung lama. Mencari apa kelebihan wanita ini sehinggakan Donghae langsung melupakan dia.
            ‘Dia bukan Donghae, sebaliknya Ryu!’ Akalnya tegas mengingatkan namun hatinya tetap berdegil mahu menganggap Ryu itu Donghaenya.
            Ingatan dia bertandang ke rumah ibu bapanya tidak lama dahulu datang kembali menyapa fikiran.
            “Ibu, apa yang perempuan itu buat di sini? Kenapa ibu menangis?” Angela memaut bahu Madam Park. Risau melihat ibunya menangis teresak-esak.
            “Ayah?” Wajah Tuan Hwang Soo pula dipandang namun wajah tua itu melarikan pandangan ke arah lain.
            “Angel, ka..Kami bersalah terhadap kamu. Donghae bukannya Donghae.” Keningnya berkerut apabila mendengar butir bicara Tuan Hwang Soo yang tidak jelas.
            Hampir dia pitam apabila mendengar cerita Madam Park dan dia kini mula mengerti mengapa layanan Donghae tidak seperti dahulu.
            Rupa-rupanya jejaka yang tinggal di sisinya selama ini merupakan orang lain yang mempunyai wajah seiras dengan Donghae. Padanlah lelaki itu agak dingin dengannya, agak kurang berbicara dan tersenyum namun dengan kehadiran Elisabella ke tempat kerja lelaki itu, lelaki itu mula berubah menjadi…Sangat lain.
            Akan tetapi hatinya tidak dapat menerima hakikat itu. Sebab itulah apabila Yesung mengajak dia menyertai kembara ke Etopia dia terus sahaja bersetuju kerana tahu Ryu merupakan sebahagian daripada kumpulan itu.
            Dia, mahu menerima hakikat itu perlahan-lahan atau mungkin tidak. Mungkin juga dia mahu menafikan segala-galanya dan terus berpura-pura bahawa lelaki di hadapannya itu merupakan buah hati kesayangannya.
            “Angel.” Dia tersentak apabila mendengar suara Yesung menegurnya.
            “Kau nak apa-apa?” Dia memandang sekeliling. Mereka kini di kawasan stesen minyak yang lengang. Dia pandang ke arah sebelah kirinya. Sebelah kening terjungkit apabila melihat Elisabella sudah tiada di tempat duduknya. Begitu juga dengan Ryu.
            Dari jauh, dapat dia melihat Ryu sedang membayar sesuatu di kaunter manakala Elisabella sedang memasukkan serbuk minuman segera ke dalam cawan sebelum air panas ditambah.
            “Angel?”
            “Aku nak ke tandas sebentar.” Dia terus sahaja turun daripada kenderaan dan menuju ke tandas yang terletak di belakang kedai serbaneka stesen minyak itu. Yesung dengan langkah perlahan mengekori Angela.
            Angela memegang dadanya apabila terkejut melihat Yesung menunggu betul-betul di depan pintu bilik air. Jejaka itu hanya tayang sengih.
            “Angel, aku nak cakap sesuatu dengan kau.” Bicara Yesung mematikan langkahnya namun tidak pula dia berpaling menghadap ke arah Yesung.
            “Kau kena terima hakikat bahawa Donghae sudah tiada bersama kita. Yang di depan itu, merupakan Ryu, suami kepada Bella dan mereka akan kembali ke tempat mereka setelah segala-galanya tamat. Kau faham kan maksud aku?” Yesung memandang Angela.
            “Aku tahu Yesung. Tapi, beri aku masa untuk terima hakikat itu.” Setelah menghabiskan kata-kata itu, dia terus sahaja berlalu meninggalkan Yesung.
            Angela menggetap bibir apabila melihat kemesraan diantara Ryu dan Elisabella. Elisabella sedang menghirup minuman dan Ryu pula memeluk Bella dari arah belakang. Ryu kelihatan membisikan sesuatu kepada Elisabella sebelum gadis itu tertawa riang.
            Dia memandang ke arah tepi apabila terasa bahunya ditepuk perlahan. Kemudiannya, perlahan-lahan dia mengekori langkah Yesung menuju ke arah kenderaan mereka.




0 under spell:

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review