Saturday, June 25, 2011

Black Fantasy: Which one? [21]

Posted by Snow_Queen at 11:40 PM

“Yu Jin tak turun makan?” Soal nanny Mia apabila tidak nampak kelibat Yu Jin di meja makan. Selalunya gadis itu orang pertama yang akan sampai di meja makan.
            “Tak tahu.” Nanny Mia meminta diri selepas melihat angin Junhyung yang nampak tidak baik. Junhyung pula terus sahaja makan tanpa memperdulikan keadaan sekeliling.
            Yu Jin duduk di atas katil. Dia melihat nota-nota mengenai Amytheist yang berselerakan di atas katil. Jari-jemarinya di bawa ke dahi dan pelipisnya dipicit perlahan. Bayangan Top dan Eva kembali hadir di mindanya. Perlahan-lahan dengusan nafas kasar dilepaskan seolah-olah dengan berbuat demikian segala beban di bahunya turut akan hilang.
            Merasakan fokusnya sudah hilang, kesemua nota-nota berkenaan diletakkan ke dalam buku-buku yang berselerakan di hadapannya sebelum dia membuka pintu gelungsur balkoni. Wajah Junhyung dan Top bersilih ganti. Telapak tangan dilekapkan ke dada kiri. Dapat dirasakan degupan jantungnya.
            “Siapa pilihan hatiku sebenarnya? Aku menyukai Junhyung kah?” Yu Jin menarik senyuman kecil. Geli hati dengan persoalan kedua yang tiba-tiba sahaja muncul. Aku menyukai Junhyung? Merepek! Baru sahaja kenal masakan aku sudah boleh jatuh suka pada mamat itu.
            ‘Kalau kau tak suka dia atas alasan apa kau koyak nombor telefon pelajar perempuan yang cuba mengorat dia?’ Akalnya meningkah.
            “Errr…” Digaru kepalanya yang  tak gatal. Oh! Aku nak selamatkan budak tu dari jadi mangsa patah hati. Si Junhyung tu kan dingin dengan perempuan. Hatinya mempertahankan tindakannya pada petang tadi.
            ‘Oh…Alasan apa lagi yang kau nak beri? Kenapa kau nak menafikan tunas rasa yang sudah mula bertunas dalam hati kau?’ Akalnya terus-terusan menguji.
            “Hei! Diamlah! Banyak songeh pula kau ni. Suka hati akulah nak menafikan ke nak suka ke.” Yu Jin mencebikkan bibirnya.
            “Yu Jin okay?” Sepantas kilat tubuhnya berpusing menghadap pintu balkoni. Nanny Mia memandangnya dengan wajah yang risau.
            “Ehehe…Okay. Ada apa Nanny?” Yu Jin garu pipinya yang tak gatal. Menahan malu sebenarnya.
            “Nanny hantarkan makanan. Ada atas meja tu. Kalau lapar nanti makanlah.” Segaris senyuman terukir di wajah orang tua yang sudah dianggap seperti ibunya.
            “Okay.” Keluhan terluah dari bibirnya sebaik sahaja Nanny Mia keluar. Baru sahaja dia mahu melangkah masuk, dia mendengar bisikan seseorang di belakangnya. Badannya dipusing ke arah belakang menghadap luar. Anehnya! Tiada sesiapa.
            “Yu Jin, aku ni bartender Han. Aku nak beri kau maklumat.” Suara Bartender Han kedengaran.
            “Oh?” Keningnya terangkat sebelah.
            “Pukul dua belas malam ini, ada parti yang di adakan di sebuah gudang lama yang terletak di hujung Bandar. Aku sudah letakkan alamat di atas katil kau. Di sana kau boleh dapatkan maklumat mengenai pewaris Amy.”
            “Terima kasih.”
            “Hati-hati. Di sana kau bukan akan menjadi tetamu tetapi penyanyi jemputan. Aku sudah uruskan segala-galanya. Di sana akan ada yang cover line untuk kau. Jika kau terjumpa orang-orang yang memakai lencana berbentuk bunga, mereka merupakan orang-orang aku.” Sejurus selepas itu, suara bartender Han tidak kedengaran lagi.
            Dia menghampiri katil. Cebisan kertas di ambil. Bibir bawahnya digigit. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Ini bermakna dia mempunyai sejam sahaja lagi. Lencana bunga yang diletakkan di atas cebisan kertas tadi di ambil. Segera dia menyalin pakaiannya kepada pakaian yang sesuai. Jampi dikenakan dan mukanya menjadi pucat seperti mayat. Solekan ringkas di kenakan. Rambutnya bertukar warna ke warna perang gelap. Sepantas kilat, dari balkoni, dia terjun ke bawah tanpa menghasilkan sebarang bunyi. Bilik Junhyung yang sudah gelap dipandang sekilas sebelum dia beredar.

0 under spell:

 

Snow_Queen Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review